Artikel adalah copy n paste dr saudara Ezri
Ada sesapa tak pernah dengar nama Nakhoda Hitam, juga dikenali sebagai Laksamana Tok Bidor? Mengikut cerita lama orang Perak, beliau telah lari dari Aceh kemudian menjadi lanun di Pulau Sembilan (dekat kuala Sungai Perak). Tetapi kemudiannya diangkat menjadi Laksamana pertama Perak.
Juga ada ke sesiapa yg tahu mengenai Keramat Kuala Bidor? Mengikut ceritanya, beliau hidup sebelum nama Perak wujud. Dan beliau lah yang membela buaya putih Sungai Perak, masa buaya tu baru sebesar tapak tangan?
Keramat Kuala Bidor
Cerita Nakhoda Hitam dan Keramat Kuala Bidor ni memang tak ramai orang tahu. Kecuali orang lama Perak dan mereka yang ada kena mengena. Sesetengah kerabat di Raja Perak tahu tentangnya tetapi cerita yang diterima telah bercampur-aduk dengan unsur-unsur fitnah.
Seorang Mat Saleh yang rapat dengan istana Perak abad ke 19, R.O. Winstedt pernah menceritakan dalam bukunya "A History of Perak" bahawa Nakhoda Hitam asalnya seorang nelayan miskin yang datang berhijrah dari Haru (di selatan Aceh) ataupun Pasai.
Cerita yang dikutip dari kerabat diraja Perak ni ada macam cerita Badang sikit - Ikan dalam jala Nakhoda Hitam selalu hilang, jadi dia pun siasat lah. Rupa-rupanya ada satu mamat ni, pakai jubah ngan serban hijau dok makan dia punya ikan. Apa lagi dia terus keluar pergi cekak mamat tu (seekor jin) punya janggut. Mamat tu minta dilepaskan lalu berjanji akan menunaikan apa-apa permintaan Nakhoda Hitam. Lalu beliau meminta supaya di keluarkan dari kemiskinan. Maka jin itu pun muntah, disuruh Nakhoda Hitam makan muntahnya. Tidak lama kemudian beliau diangkat menjadi Laksamana Perak malah menjadi orang yang paling berkuasa dan kaya di Perak sampai tujuh keturunan. Salah satu keturunannya ialah Laksamana Muhammad Amin yang turut dibuang ke Pulau Seychelles bersama Sultan Abdullah dan Ngah Ibrahim kerana kes pembunuhan J.W.W. Birch. Kata orang, itulah keturunannya yang ketujuh. Wallahualam...
R.O. Winstedt juga menceritakan kisah serupa dalam "The Legend of Tok Kuala Bidor" yang disimpan oleh Royal Historical Society.
Menurut nenek seorang rakan, cerita ini fitnah daripada jurai kerabat yang dengki terhadap keluarga Laksamana dan ingin menjatuhkan martabat serta asal-usul mereka. Kata nenek tu, Nakhoda Hitam adalah seorang pewaris takhta Aceh yang sanggup meninggalkan takhta Aceh kerana tidak mahu rakyat terus berbalah dalam perang saudara. Jadi kenapa dia perlu meminta kekayaan daripada seekor jin? Dan cerita yang dikutip R.O. Winstedt ini telah bercampur aduk dengan cerita Keramat Kuala Bidor kerana Nakhoda Hitam yang juga dikenali sebagai Laksamana Tok Kuala Bidor (boleh check salasilah Laksamana Perak yang dimulakan beliau) hidup semasa zaman pemerintahan Sultan Muzaffar III, tahun 1700 gitu sedangkan Keramat Kuala Bidor hidup sebelum Perak malah kerajaan Melaka wujud. Tetapi memang ada kaitan darah antara mereka berdua.
Cubalah tanya-tanya orang (esp mereka yg berasal dari Perak ;clap). Untuk makluman, kedua-dua Nakhoda Hitam dan Keramat Kuala Bidor ada pertalian darah dengan Sultan Malikus Salih, pengasas kerajaan Samudera-Pasai (dikatakan mangkat tahun 1297 Masihi). Makamnya di Geudong, Lhoksuamawe, Aceh tidak disentuh Tsunami (tengok Jejak Rasul 11) walaupun dekat ngan pantai.
Batu nesan Sultan Malikus Salih pula, jenis batu nesan Aceh yang berkepak serupa dengan batu nesan yang terdapat di satu-satunya makam Sultan Melaka yang masih wujud iaitu makam Sultan Alauddin Riayat Shah (mangkat 1488) di Pagoh, Muar. Sama juga dengan makam Sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Shah I (mangkat 1549) di Telok Bakong, Parit, Perak.
"Wali-wali Ku berada di bawah kubah-kubah Ku.
Tidak ada yang mengetahuinya selain Aku"
- Hadis Qudsi.
Mereka yang mengkaji sejarah lama Aceh pasti tahu nama Sultan Malikus Salih, pengasas kerajaan berkembar Samudera Pasai yang tersohor dalam sejarah Islam Nusantara. Jauh sebelum keSultanan Melaka wujud dan menerima Islam, baginda telah menjadikan kerajaannya sebagai pusat keilmuan, dakwah dan penyebaran Islam yang terunggul di rantau ini.
Cerita mengenai Sultan ini pula diabadikan dalam Hikayat Raja-raja Pasai, kitab lama yang dianggap para pengkaji dan ilmuwan sebagai teks tertua dalam sejarah sastera Melayu. Sementara makamnya di Aceh menjadi tumpuan ramai yang ingin menelusuri sejarah kegemilangan Islam dahulukala. Tetapi berapa ramaikah yang tahu baginda dan kerajaannya tidak akan wujud jika tidak kerana seorang hamba Allah yang pernah menetap di Teluk Intan dan dimakamkan di sana? Berapa ramai menyedari hubungan peribadi baginda dengan orang di Perak ini?
Cuma, makamnya terletak terpencil di sebuah estet, bukan seperti makam Malikus Salih yang terserlah di Sumatera ditandai batu nesan Aceh, melambangkan martabat dan kebesaran pemiliknya. Ia sekadar dihiasi batu-batu sungai, cukup untuk memberitahu di situ bersemadi jasad seorang insan yang pernah wujud di mukabumi ini.
Apa yang menunjukkan pemilik makam di kuala Sungai Bidor ini bukan sembarangan orang adalah ikatan kain kuning pada batu-batu itu. Maka itu dikenali orang sebagai Keramat Kuala Bidor.
Muhammad Al Aminul Rasyid menunggu sehingga selesai makan tengahari sebelum mengemukakan apa yang sudah lama terbuku di hati. Dengan menceritakan mimpi ganjilnya yang melibatkan keSultanan Perak serta kaitannya dengan akhir zaman. Bayangkan selepas begitu lama tidak berbual dengan nenek malah seumur hidup tidak pernah mengambil tahu tentang negeri kelahiran ayah, tiba-tiba dia boleh muncul kembali dan bertanyakan cerita-cerita lama tentang Perak. Yang peliknya nenek tidak hairan pun malah tersenyum berseri-seri pula. Seolah-olah sudah sampai masa cucundanya mengenali asal-usul diri, sudah sampai waktu bersedia untuk memikul amanah keluarga. Apalagi, nenek pun membuka cerita...
Tersebutlah kisah, suatu masa dahulu di Sumatera, dua beradik berebut takhta. Si abang yang lebih layak terkilan, sedih dicabar si adik yang berang. Lalu merajuk meninggalkan kerajaan, bersama isteri tersayang sehelai sepinggang.
Mereka pun bersampan menyeberangi Selat Melaka. Masuk ke Sungai Perak, mendarat di Teluk Intan. Di situlah duduk, mencari makan. Bercucuk-tanam, menjala ikan.
Nenek kata pada zaman itu keSultanan Perak belum wujud lagi. Tidak tahu pula berapa lamakah dahulu cerita ini berlaku. Nama Teluk Intan pun belum wujud, begitu juga nama Perak dan Sungai Perak. Tetapi sudah ada penduduk di situ, sudah ada kampung kecil nelayan. Tidak pasti pula asal-usul mereka, di bawah kerajaan mana atau naungan siapa. Kalau ikut sejarah rasmi, keSultanan Perak bermula tahun 1528 Masihi. Maka cerita ini mestilah telah berlaku sekurang-kurangnya 500 tahun dahulu.
Yang peliknya, nenek kata Keramat Kuala Bidor selalu berulang-alik berkebun di Bidor. Pergi selepas Zuhur, balik sebelum Maghrib. Sedangkan kalau naik kereta sekarang inipun memakan masa sejam dari Teluk Intan hendak ke Bidor. Inikan pula pergi-balik meredah hutan, siap berkebun dalam tempoh lima jam. Hendak kata naik kuda, setahu Rasyid Keramat Kuala Bidor tidak memiliki apa-apa bentuk tunggangan. Maklumlah orang miskin hidup sehelai sepinggang, lembu pun tak mampu beli inikan lagi kuda... Eh... Entah-entah hamba Allah ini naik harimau kot? Sebab pernah orang menyebut, beliau ada membela seekor harimau yang tempang satu kakinya dikenali sebagai harimau tepok...
Keramat Kuala Bidor juga suka menjala ikan awal pagi dan menghadiahkan tangkapannya kepada penduduk kampung tanpa diketahui. Selesai menjala, beliau pun meletakkan ikan di pintu setiap rumah sebelum Subuh. Buka sahaja pintu terus dapat ikan percuma. Tetapi tidak tahu siapa yang beri. Beliau cuma mengambil seekor dua untuk makanannya dan isteri.
Memang hidup hamba Allah ini ringkas. Kain bersih pun ada sehelai sahaja dikongsi suami isteri. Itulah yang digunakan untuk solat bergilir tetapi hidup mereka tetap berseri...
Nenek kata kalau beliau mahu hidup senang goyang kaki sudah lama boleh kerana beliau telah dikurniakan banyak kelebihan semulajadi. Tetapi Keramat Kuala Bidor bukan jenis manusia yang cintakan kekayaan dan harta benda malah apa-apa bentuk pun kemewahan dunia.
Pernah terjadi peristiwa Keramat Kuala Bidor terjumpa sebuah takar penuh emas yang nilainya mahu berjuta-juta Dolar. Selalunya orang kalau terjumpa harta karun sebegini mesti terus lupa diri. Maklumlah, harta percuma... Malah kebanyakan orang sanggup berbunuh-bunuhan untuk mencari harta dan kekayaan.
Tetapi beliau tahu itu hanyalah dugaan Allah semata-mata untuk menguji hati hambaNya samada terpengaruh dengan harta benda ataupun tidak. Maka Keramat Kuala Bidor buat tidak nampak dan terus meninggalkan takar itu. Tahu tidak apa yang terjadi seterusnya? Takar itu cuba mengekorinya pula!
"Ya ke ni nenek?" tanya Rasyid meminta kepastian.
"A’a lah... Kamu tak percaya ke?" nendanya bertanya kembali.
Pada mulanya, Keramat Kuala Bidor cuma berjalan seperti biasa. Setakat hendak meninggalkan tempat itu dan kembali ke rumahnya. Tetapi takar itu pula boleh mengensot-ensotkan diri mengikutinya. (Macam kerbau pendek tidak berkaki?) Bila Keramat Kuala Bidor melangkah lebih laju, pandai pula ia bergolek mengejar (macam ba alif ba ya golek siap ada apel kat mulut?). Hamba Allah inipun melarikan diri. Takar itu pula memecut sekali!
Sampai sahaja ke kampung, beliau terus melompat masuk ke dalam masjid. Takar itu cuba melompat sama tetapi jatuh terlanggar tangga. (Yalah, ia bukannya ada kaki...) Bersepah keluarlah kepingan-kepingan emas di dalamnya, terus dikutip orang-orang sekeliling. Tetapi seperti biasa, Keramat Kuala Bidor buat tidak tahu, macam tidak ada apa-apa yang berlaku...
Nenek kata ada orang-orang dulu menanam takar berisi emas di tempat tertentu. Sampai sekarang masih ada pihak yang cuba mencari takar itu. Tetapi menurut khabarnya ia dijaga jin ganas yang hauskan setempayan darah anak dara. Sebab itu nenek tidak suka bercerita kepada sesiapa.
Katanya ada pihak yang cuba mengorek cerita-cerita lama daripadanya tetapi beliau malas hendak menjawab. Cerita pun sedikit sahaja kerana ramai yang ingin tahu untuk mencari harta ataupun bukti demi menagih pangkat. Sedangkan mereka sepatutnya tidak hairan dengan semua ini.
Tetapi nenek sanggup bercerita kepada Rasyid kerana tahu cucundanya itu cuma dahagakan jawaban, tidak gilakan pangkat ataupun harta. Tahu anak muda ini mahukan penyelesaian yang dapat memberikannya istirehat setelah bertahun tak henti berkelana...
Dalam suatu peristiwa pula, seperti biasa Keramat Kuala Bidor pergi menjala ikan di Sungai Perak tetapi apabila beliau menarik jalanya, yang sangkut cuma seekor anak buaya.
Hamba Allah yang penyayang ini tidak membunuh mahu pun membuang anak buaya yang terluka itu. Malah beliau merawatnya sehingga sembuh. Buaya itupun menjadi binatang peliharaannya. Itulah buaya putih Sungai Perak yang terkenal di kalangan rakyat tempatan sana, buaya legenda yang akan muncul apabila akan berlaku apa-apa peristiwa besar yang boleh mengancam negeri itu, mungkin negara ini juga...
Kata nenek, buaya itu asalnya sebesar tapak tangan sahaja. Sekarang, ada yang kata panjangnya sampai boleh menyeberang Sungai Perak. Kalau begitu, tidak kurang 100 meter ada! Entah betul entahkan tidak.. Apapun buaya itu sebenarnya adalah buaya jadian, boleh menjelma menjadi orang... Maka itu janganlah hairan jika ia boleh membesar selebar Sungai Perak. ;shock2 ;shock2
Dalam banyak-banyak cerita nenek, Rasyid paling suka kisah Keramat Kuala Bidor hendak mengambil wuduk sebelum Subuh di tepi Sungai Perak tetapi air menjadi keras! Ya, keras seperti batu...
Hamba Allah ini tidak peduli pun dengan peristiwa ajaib itu kerana cuma ingin mengambil wuduk untuk menunaikan solat. Lalu beliau pun menanggalkan serbannya dan meletakkannya di sisi. Kemudian melangkah ke atas air yang keras tadi menuju ke tengah untuk mencari air yang boleh dibuat wuduk. Tetapi air sungai masih lagi keras, tidak ada yang boleh digunakan...
"Kira air itu beku macam aiskah nenek?" anak muda itu memotong. Bertanya macam budak-budak. Nak manja dengan nenda agaknya...
"Tak juga," jawab nenek. " Nak kata macam ais, air batukan sejuk? Cakap air keras aje cukuplah, macam simen atau batulah agaknya..."
Maka terpaksalah Keramat Kuala Bidor berjalan merata di atas sungai demi mencari air yang boleh digunakan untuk dibuat berwuduk. Tidak ada juga air yang cair. (Pelik bunyinya bukan?) Harus melangkah lebih jauh lagi ke tengah Sungai Perak yang luas...
Entah mengapa, ketika berada di tengah, tiba-tiba air menjadi cair. Keramat Kuala Bidor pun terjatuh ke dalam sungai lalu berenang ke tebing. Naik ke darat membetulkan pakaian kemudian mengambil wuduk seperti biasa, seolah-olah tidak ada perkara pelik yang berlaku. Tak terfikir pun mengapa air sungai boleh menjadi keras, tidak peduli langsung pakaiannya basah.
Selesai itu, beliau menghulurkan tangan untuk mengambil balik serbannya yang diletakkan di sisi tadi. Tengok-tengok, serban itu pula hilang, ghaib entah ke mana. Aikk? Apa pula ini? ;shock2 Beliau pun mula mencari-cari dalam kegelapan awal pagi...
"Rupa-rupanya serbannya ada nun jauh di atas pokok kelapa, tersangkut di celah pelepah daun pokok," beritahu nenek.
Tidak tahulah bagaimana beliau boleh nampak serban atas pokok dalam kesamaran sebelum Subuh itu. Kira magic juga itu, fikir Rasyid.
Kata nenek, rupa-rupanya malam itu malam Lailatul Qadar yang penuh keberkatan. Pokok kelapa itu sedang sujud menyembah bumi semasa Keramat Kuala Bidor meletakkan serbannya sebelum ia naik tegak kembali... Tanpa banyak cerita, beliau pun memanjat pokok kelapa itu dan mengambil serbannya. Kemudian balik ke rumah menunaikan solat seperti biasa...
Banyak perkara pelik dan karamah berlaku kepada hamba Allah ini tetapi beliau tetap tidak hairan terhadap semua ini. Mungkin kerana menganggap segala yang berlaku adalah remeh belaka, cuma ujian Allah SWT untuk melihat samada hambaNya itu terpesona ataupun tidak.
Seperti dinyatakan dalam sebuah Hadis Qudsi, firman Allah SWT yang dipaparkan dalam sebuah kitab Tasawuf:
"Hai hambaku, bila kamu ingin masuk ke Haramil Ku (Haramil Qudsiyah), maka kamu jangan tergoda oleh Mulki, Malakut, Jabarut; kerana alam Mulki adalah syaitan bagi orang Alim, alam Malakut syaitan bagi orang Arif, alam Jabarut syaitan bagi orang-orang yang akan masuk ke alam Qudsiyah."
Nenek pun tidak tahu siapakah sebenarnya Keramat Kuala Bidor, siapakah nama sebenar beliau, apakah asal-usulnya secara terperinci... Atau mungkin nenek sengaja tidak mahu beritahu? Sahaja hendak bagi suspense? Suruh Rasyid ambil inisiatif mengkaji sendiri? Nenek setakat memberi satu petunjuk... Katanya beliau keturunan orang baik-baik.
Bersambung....



2 comments:
hmmm.. interesting :)
Assalamualaikum Wrt..
mudah2han kita semua akan disatukan suatu hari nanti..
-saudara jauh-
Post a Comment