Friday, February 26, 2010

SEJARAH ISLAM - Daulah Osmaniyah - Sultan Muhammad Al-Fatih

   
Sebelum kita meneruskan dengan artikel berkaitan dengan Sejarah Islam ini, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan 'Salam Maulidul Rasul' kepada semua yang sudi melayari blog bahtera wawasan ini, semoga dengan memperingati akan kelahiran Rasulullah s.a.w. ini akan bertambah kuat pegangan kita akan sunnah yang ditinggalkan baginda dan kita akan terus berusaha memperkukuhkan lagi Sunnah baginda yang menjadi teladan kita sehingga ke akhir hayat di dunia ini.

Barangkali yang masih kurang diketahui ialah bahawa Salahuddin Al-Ayyubi juga merupakan orang pertama yang mengusulkan agar peringatan maulid Nabi Muhammad SAW diadakan semula setelah sekian lama telah dihentikan pada tahun 488 atas perintah Perdana Menteri al-Afdal Shahindah pada ketika itu yang berpegang kuat pada sunnah seperti tercatit di dalam buku Al-Kamel, karangan Ibnu Al-Atheer.

Sejarah perayaan maulidur Rasul bermula pada zaman kekhalifahan Fatimid (keturunan dari Fatimah az-Zahrah, putri Nabi Muhammad SAW). Ketika itu, Salahuddin merupakan panglima perang, dan Masjid Al-Aqsa di Palestin berada dalam genggaman musuh. Umat Islam yang berada di Jerusalem telah dianiaya dan ditindas.
Untuk membebaskan Masjid Al-Aqsha dengan cara yang terhormat, Salahuddin berpendapat bahawa tenteranya dan umat Islam keseluruhannya perlulah meneladani sifat-sifat juang dan kemuliaan peribadi Nabi Muhammad SAW. Untuk itu, sejarah kehidupan Rasulullah hendaklah dihayati. Beliau lalu mengusulkan kepada khalifah agar mengadakan peringatan maulid Nabi Muhammad SAW.
Hasilnya, semangat jihad kaum muslimin berkobar. Tentera muslimin di bawah pimpinan Salahuddin merupakan pasukan yang berdisiplin, bermoral tinggi dan penuh etika.

Adapun perarakan yang dibuat Sultan lebih kepada perarakan tenteranya yang beramai-ramai ke medan perang sehingga sebahagiannya menemui syahid, sedang yang sebahagian lagi yang masih hidup berjaya menakluki Baitulmaqdis pada 1187 (583 H). Akhirnya sambutan ini telah menjadi tradisi dibeberapa negara termasuk di Malaysia. Walau bagaimana pun sambutannya bukanlah perkara yang diwajibkan dalam Islam, begitu juga jika mahu mengadakan perarakan kerana Islam lebih menuntut umatnya mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. dan menjunjung Islam sebagai panduan hidup.

Tidaklah ada maknanya seandainya kita berkobar-kobar menyambut Hari Kelahiran Baginda s.a.w sedangkan dari segi pengamalan telah jauh dari apa yang telah ditunjuki oleh baginda. Jadi untuk itu marilah kita bersama muhasabah diri dan memperingati agama yang sebenar-benar agama yang telah di bawa oleh baginda Rasulullah s.a.w. ini.

Baginda Rasulullah s.a.w. tidaklah terus dilahirkan di dalam keadaan agama Islam sepertimana kita hari ini. Bahkan baginda juga berdepan dengan umat yang sudah jauh terpesong di dalam agama yang menyembah selain Allah. Tetapi baginda yang telah dikurniakan satu bentuk keperibadian hidup yang baik di mana sedari awalnya baginda di gelar dengan Al-Amin iaitu seorang yang boleh dipercayai atau juga seorang yang jujur.

Di atas fikir dan risaunya terhadap umat pada ketika itu lalu pergilah beliau mengasingkan diri dengan berseorangan, menangis beliau kerana permasaalahan manusia pada ketika itu serta mengharapkan agar dikurniai suatu cara untuk menyelesaikan permasaalahan yang berlaku ketika itu. Sehinggalah lamanya 7 tahun di mana baginda dikurniai oleh Allah wahyu yang pertama yang membuktikan wujudnya Tuhan yang Maha Esa lagi amat Mengasihani.

Begitulah seterusnya beliau menerima wahyu dalam mengajak para sahabat dan menunjukkan cara sebagaimana yang diredhoi oleh Tuhan yang Maha Esa. Baginda membentuk Para sahabat bukanlah satu perkara yang mudah, para sahabat yang terdiri daripada berbagai ragam jenis manusia dan yang ternyata sekali akan ke'brutal'an mereka, tetapi dengan wahyu Allah s.w.t. ternyata ianya dapat menyelesaikan segala permasaalahan manusia. Wajiblah bagi kita mengetahui akan cara untuk melaksanakan Firman-firman Allah s.w.t. ini adalah melalui cara yang ditunjuki oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Wajiblah bagi kita umat yang akhir zaman ini saling ingat memperingati sesama kita dalam menuju keredhoan Allah s.w.t. bahawasanya Nabi juga pernah bersabda yang bermaksud. "Sesungguhnya agama itu nasehat-menasehati". Ingatlah sesama kita, barangsiapa yang inginkan kebaikan sudah tentu kehidupannya akan mendorong ke arah kebaikan dan begitu juga sesiapa yang ingin hidup bertuhankan Allah sudah tentu kehidupan akan terdorong mengerjakan apa yang diperintahkan Allah s.w.t.dengan cara yang sudah semestinya yang di bawa oleh baginda Rasulullah s.a.w. Begitulah Allah s.w.t. menjadikan Rasulnya yang dikasihi dari kalangan manusia agar kita juga akan mendapat keyakinan sebagaimana yang telah diperolehi Baginda Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada kita agar hidup bertuhankan Allah s.w.t.,meyakini akan Allah s.w.t, meyakini akan perantaraan para Malaikat, meyakini akan cara yang telah baginda bawakan kepada kita, meyakini akan panduan kitab-kitab, menyakini akan berlakunya hari kebangkitan dan meyakini segalanya di atas Qada dan Qadar Allah s.w.t. InsyaAllah, bersama kita saling memperingati sesama kita dalam mengamalkan sepertimana yang telah ditunjuki oleh Baginda Rasulullah s.a.w. sejak dari mula bagaimana baginda mengenal Allah seterusnya melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Allah s.w.t.

wallahualam.


Sultan Muhammad Al-Fatih


Sultan Muhammad lebih terkenal dengan gelaran "Al-Fatih" (penakluk) dan beliau adalah umpama mahkota di atas kening sejarah Bani Osman khususnya dan sejarah Islam umumnya. Bahkan menjadi pembuka pintu bagi perubahan perpindahan Sejarah Dunia dari zaman Tengah kepada zaman baru. Kerana beliaulah yang menaklukkan kota Konstantinopel tempat kedudukan Kerajaan Rom Timur atau Byzantium beratus tahun lamanya.

Tersebut di dalam sejarah bahawasanya tatkala kota Madinah Al-Munawwarah di kepung oleh Sekutu Musyrikin dengan Yahudi dalam perang yang terkenal iaitu :Perang Khandak", seketika Rasulullah s.a.w. menghentakkan tembilangnya hendak memecahkan batu untuk dijadikan parit sebagai pertahanan (khandak) maka memancarlah cahaya api kerana pertembungan besi keras dengan batu keras dan dengan secra sepontan baginda mengucapkan takbir sampai tiga kali berturut-turut kejadian itu dan tiga kali pula beliau mengucapkan takbir itu. Seketika ditanyailah oleh sahabat-sahabat beliau, mengapa beliau bertakbir ketika memancarnya cetusan api itu tiga kali, seraya baginda pun menjawab :bahawa pada cetusan api yang pertama beliau ternampak bayangan di udara istana putih di negeri Yaman, pada cetusan api yang kedua pula beliau melihat bayangan Iwan Kisra di tanah Parsi dan pada cetusan api yang ketiga pula beliau melihat Mahligai raja-raja Konstantinopel! Akhirnya, meskipunketika itu Rasulullah s.a.w. dan para sahabat tengah di dalam kesulitan dan bahaya yang mengancam sangat hebatnya, namun suatu waktu kekuasaan Islam akan meluas juga sampai ke hujung Arab Selatan sampai ke Utara dan akan menyeberang sampai ke Konstantinopel yang ketika itu masih menjadi pusat yang kuat dari Kerajaan Rom Timur (Byzantium).

Dan pernah pula beliau mengatakan di dalam salah satu sabdanya : "Pastilah kamukelak akan menaklukkan kota Konstantinopel. Maka yang sebaik-baiknya Amir, Amir yang memimpin penaklukkan itu dan sebaik-baik tentera pula adalah tenteranya." Dan telah berulang kali pahlawan-pahlawan Islam sejak dari zaman sahabat-sahabat Nabi ketika di zaman Bani Umayyah telah cuba untuk mengepung Kota itu samapi kepada zaman Bani Abbas di zaman pemerintahan Harun Al-Rashid tetapi belum juga dapat ditaklukkannya. Bahkan seorang sahabat Nabi yang utama, Abu Ayob Al-Ansary yang menyediakan rumahtangganya untuk menyambut Nabi Muhammad s.a.w. seketika berpindah ke Madinah sebelum Beliau mendirikan rumahnya sendiri telah meninggal ketika tentera Islam mengepung Kota Konstantinopel pada tahun 52 Hijrah dibawah pimpinan Yazid ibn Mu'awiyah di zaman pemerintahan Mu'awiyah sendiri. Maka banyaklah kitab-kitab sejarah Islam mengisahkan percubaan mengepung yang berkali-kali terhadap kota itu oleh tentera Islam.

Dan semuanya masih gagal. Bahkan Bayazid datuk kepada Sultan Muhammad dan ayahnya sendiri, Murad, berusaha pula hendak mencapai gelar "Penakluk" itupun gagal juga.

Ada tiga hal yang menimbulkan keinginan besar bagi pahlawan-pahlawan Islam zaman itu untuk menaklukkan Konstantinopel. Pertama kerana dorongan Iman kepada Tuhan yang disemangati oleh apa yang telah disabdakan oleh Baginda yang menjanjikan kota itu akan dapat ditakluk dan amirnya adalah yang sebaik-baik amir serta tenteranya pula adalah sebaik-baik tentera. Sebagai orang Muslimin mereka ingin semoga merekalah orang yang dipuji Nabi itu. Yang kedua ialah kerana beratus tahun lamanya Kota Konstantinopel menjadi pusat kemegahan bangsa Romawi. Pusat peradaban dan kebudayaan. Orang Islam telah dapat menakluk Madain iaitu pusat kekuasaan bagi orang Parsi.

Maka belumlah cukup kekuasaan itu sebelum kota lawan Parsi iaitu ibukotanya dapat ditaklukkan pula. Yang ketiga adalah keindahan negeri itu dan letaknya yang sangat strategis, perhubungan antara dua benua besar Eropah dan Asia. Lama kemudian, Napoleon Bonarparte pernah mengatakan bahwa dia tidak akan merasa berat menjadi kaisar memerintah seluruh alam bilamana pusat kekuasaannya diletakkan di Konstantinopel.

Letaknya indah dari segi keindahan alam. Tiga kota di tepi laut yang sangat mengkagumkan di dunia, pertama Napoli di Italy, Kedua Lisbon ibu negeri Portugal dan ketiga Konstantinopel dan yang ketiga inilah yang terindah diantara yang indah.

Rencana Penaklukan

Bani Osman telah merasa bahawasanya kekuasaannya yang telah sekian lama luas di Asia-Kecil dan Eropah Timur belumlah akan kukuh, kalau Konstantinopel tidak ditakluki. Penaklukan Konstantinopel adalah urusan hidup-hidup bagi Kerajaan Osmani. Oleh sebab itu dari nenek turun ke cucu, turun-temurun niat itu dihidupkan dan diapikan terus. Suara Nabi Muhammad s.a.w., bahawa suatu waktu negeri itu pasti ditakluk dan cetusan cahaya ketika penggalian sewaktu perang Khandak melekat menjadi sebahagian Iman dan keyakinan bagi Bani Osman. Dan pada waktu itu mereka yakin benar, bahawa mereka berjuang ialah berjihad membangun agama Allah dan hidup danmati mereka adalah kerana membangunkan Agama Allah. Maka penakluk yang terlebih dahulu, berturut-turut dilancarkan ke negeri-negeri Eropah Timur; Yunani Bulgaria, Serbia, Montenegro dan juga yang lelainnya di mana terdapat pertalian dengan maksud pengepungan kota besar yang menjadi idaman itu. Bila seluruh negeri itu telah ditakluki maka terkepunglah Konstantinopel di tengah-tengah kekuasaan bangsa Turki sehingga akhirnya dengan mudah dapat dikuasai.

Kerajaan Byzantium bertambah yakin bahawa kerajaan besar itu tidak akan dapat lagi dilawan dengan mata pedang di medan pertempuran. Bahkan hidup matinya kerajaan Byzantium pada waktu itu semata-mata bergantung kepada belas kesihan kerajaan Turki. Maka tidak ada jalan lain yang dapat dipilihnya hanyalah dengan memakai tipu daya, menimbulkan provokasi dan intimidasi ke Asia Kecil atau ke Eropah. Bukan sedikit usaha Kerajaan Byzantium mempengaruhi Timurlane sehingga terjadi peperangan dengan Bayazid dahulu. Dan kalau ada amir-amir atau anak-anak raja Bani Osman yang memberontak terhadap kekuasaan yang sah jika mereka lari melindungkan diri ke Konstantinopel selalu mendapat perlindungan dari Kaisar. Mereka dijadikan 'tawanan politik' yang berkedudukan sebagai anak catur yang mana bila perlu mereka ini dapat diketengahkan untuk melakukan kacau-bilau. Diberi belanja dan perbantuan bagi melawan kaumnya sendiri. Sehinggakan Kerajaan Osmani selalu menghadapi masaalah dalam urusan yang seperti ini saja. Lagi pula ketika itu Kerajaan Osmani belum mempunyai armada yang kuat sedangkan Kerajaan Genoa, Republik Venesia dan Paus sendiri mempunyai armada. Sebab itu bukan sekali dua kali pemindahan tentera dari Asia Kecil terhalang di laut Marmora dan Selat Dardanella dihalangi oelh armada-armada itu. Ingat saja tentera Murad II yang hampir saja musnah kalau beliau tidak segera memberi suapan kepada armada Genoa. Oleh sebab itu belumlah ada ertinya kekuasaan besar itu sebelum Dardanella dalam rangkaiannya dengan Konstantinopel dikuasai.


Sultan Murad di hari tuanya mencuba mengepung Konstantinopel tetapi gagal.

Mulanya Sultan Muhammad masih mempelajari dengan sedalam-dalamnya dan menyediakan perlengkapan meskipun bertahun-tahun agar waktu mengadakan penyerangan tidak menghadapi kegagalan sepertimana kegagalan raja-raja Islam yang terdahulu. Dan diadakan perdamaian untuk beberapa tahun dengan Kaisar. Dan seketika Kaisar di dalam mengadakan perjanjian damai itu menuntut perbelanjaan bagi Amir Ourkhan salah seorang paman Sultan Muhammad yang melindungkan diri kepada Kaisar, Sultan Muhammad menerimanya. Maka dengan adanya perdamaian itu Sultan dapat melangsungkan perancangannya, menyempurnakan penaklukan Balkan sekali lagi bagi melanjutkan rencana bapanya.

Tetapi baru saja selesai peperangan di Balkan itu tiba-tiba memberontak pula amir-amir Asia Kecil yang dikepalai oleh Ibrahim, Amir Qarmiyan, dibantu oleh amir-amir yang lain dengan alasan bahawa mereka adalah keturunan dari amir-amir di Kirmian, Aiden Muntasha. Mereka menuntut hak dengan mengangkat senjata. Maka terkejutlah Sultan lantaran pemberontakan yang tiba-tiba itu sehingga dikirimnya tentera di bawah pimpinan Ishak Pasha "Amiril Umara" di Anatolia bagi menundukkan mereka dan kemudian diikuti oleh Sultan sendiri. Jika tadinya Sultan terkejut melihat pemberontakan yang tiba-tiba itu, Amir Ibrahim lebih terkejut pula melihat cepatnya Sultan bertindak sehingga patahlah semangat lawan melihat kekuatan yang dilawan. Maka datanglah Amir Ibrahim menyerah diri kepada Sultan dan memohon ampun seraya membawa anak perempuannya dan menyerahkannya kepada Sultan sebagai alamat tunduk dan tidak akan melawan lagi.

Maka Sulatn pun merasa kasihan melihat keadaan amir itu dan memberinya ampun. Tetapi di saat itu juga datanglah utusan membawa surat dari Kaisar Byzantium mendesak supaya perbelanjaan Amir Ourkhan yang telah dipersetujui dahulu itu segera dikirim dan ditambah dua kali ganda sebab setelah dihitung tidaklah mencukupi. Kalau tidak segera dikirm maka Kaisar tidak merasa bertanggungjawab lagi kalau Amir Ourkhan meninggalkan Konstantinopel dan menyusun tentera bagi merampas kekuasaan dari tangan Sultan Muhammad.

Dengan yang amat sangat menahan kesabarannya serta menundukkan kesabaran yang kadang-kadang membosankan orang besar-besarnya dan setengahnya hairan melihat Sultan sebesar itu pada hal dia masih muda maka Sultan menyambut utusan Kaisar itu dengan penuh hormat. Didengarnya pesan Kaisar dan dibacanya surat dengan tenang lalu dijanjikannya bahawa wang ganti kerugian Amir Ourkhan akan segera diselesaikannya bila dia tiba kembali di ibu kota (Adrianopel). Lalu dilepasnya utusan Kaisar itu dengan baik. Setelah utusan itu pergi diselesaikannya pula sebaik-baiknya urusan Amir Ibrahim sampai memuaskan. Setelah itu barulah dia kembali segera ke Adrianopel. Di sana nampak bahawa kesabarannya yang luar biasa sekali di Asia Kecil itu adalah suatu siasat. Kerana seandainya dia menunjukkan kemarahannya dan utusan Kaisar pulang terlebih dahulu sebelum baginda ada kembali di kerajaannya mungkin armada Sekutu Eropah mengepung dan menduduki Dardanella dan terputus jalannya pulang.

Sampai di Adrianopel barulah dinyatakannya sikap tegas bahaw bantuan buat Amir Ourkhan mulai saat itu ditarik balik. Setelah itu dengan segera baginda Sultan mengikat perjanjian damai dengan tidak serang menyerang dan memberi beberapa hak-hak kepada Prince dan Raja Maghyar dan Bosnia den juga Republik Venesia.

Dengan Hyunade dibuat perjanjian tidak serang-menyerang selama tiga tahun. Setelah itu beliau perintahkanlah mendirikan sebuah benteng yang kuat dan teguh di pinggir Bosporus iaitu di pantai bahagian Eropah berhadap-hadapan dengan benteng di seberang menyeberangnya iaitu di pantai bahagian Asia yang didirikan oleh neneknya Bayazid dahulu. Dengan selesainya benteng ini tidak mungkin lagi Konstantinopel mendapat bantuan alat senjata atau kepentingan lain dari Laut Hitam. Ketika membuat benteng itu Sultan yang masih muda itu menunjukkan benar-benar semangat keperwiraannya. Dia sendiri turut bekerja membuka baju dan serbannya mengangkat batu dan pasir sehingga ulama-ulama dan Pasha-pasha terpaksa ikut bekerja pula. Dengan demikian bersemangatlah seluruh tentera dan pekerja yang di datangkan dari seluruh bahagian negeri Osmani.

Sangatlah cemas Kaisar melihat pekerjaan besar itu dikerjakan orang di hadapan matanya sendiri sehingga satu waktu dikirimnya utusan kepada Sultan agar tidak lagi menuntut  gaji Ourkhan melainkan memohon sungguh-sungguh supaya pekerjaan membuat benteng itu dihentikan saja. Sebab Kaisar tidaklah bermaksud hendak berperang dengan Sultan yang sejak dari bapanya dahulu telah membayar upeti kepada Kerajaan Osmani. Maka dijawab Sultan bahawa maksudnya mendirikan benteng itu bukanlah buat menyerang Konstantinopel melainkan menjaga Kerajaannya sendiri dan memelihara kekuasaannya yang meliputi Asia Kecil dan EropahTimur. Kalau tidak dia mendirikan benteng di sana dia takut akan datang lagi serangan-serangan seperti yang telah berkali-kali dilakukan orang di masa hidup bapanya. Dan kalau dia di Asia Kecil, nescaya sukar dia menyeberangi bahagian Eropah. Tidaklah maksud memungkiri janji sebab Kaisar hidup bebas danmerdeka di dalam kotanya yang dipertahankan dengan benteng-benteng dan pagar kota dengan teguhnya. "Kami perlu mempunyai dua benteng. Yang di bahagian Asia bagi menjaga kaum Muslimin sebab itulah penduduknya dan bahagian Eropah perlu sangat sebab bangsa Rom tidak sanggup mempertahankannya lagi." Demikian jawab Sultan.

Sebagai penutup bicaranya Sultan pun berkata :"Sampaikanlah kepada Kaisarmu bahawa Sultan Muhammad jauh berbeza dengan nenek moyangnya. Bila pekerjaannya telah dimulainya, seorang pun tidak ada yang dapat membantah. Dan tidak perlu Kaisar mengirim utusan lagi. Kalau datang lagi utusan kepada ku, maka kepalanya saja nanti yang akan ku kirim kembali, mengerti!."

Utusan Kaisar pulang dengan serba ketakutan dan Sultan meneruskan pekerjaannya. Dalam tiga bulan saja selesailah pembikinan benteng besar yang dahsyat dan menakutkan itu (akhir ogos 1452M). Terkenal namanya dengan Rumli Hisar, benteng Rum, bertentangan dengan benteng yang didirikan neneknya Bayazid Kuzal Hisar, ertinya benteng yang indah. Dari sana dijaga keras kapal yang lalu lintas melalui Selat yang sempit itu. Di sanalah mulai dikumpulkan segala persediaan perang bagi menerjah Konstantinopel.

Pada 21,bulan Syaaban 856H bersamaan 28 Ogos 1452M bersama-sama dengan pengiring-pengiringnya Sultan mengelilingi parit pertahanan Konstantinopel buat melihat kekuatan dan segi-segi kelemahannya dan setelah tiga hari kemudiannya dia pun pulang sementara ke Adrianopel dan disambut rakyat dengan penuh kegembiraan.

Baginda maklum bahawa pengepungan ini akan meminta tenaga yang besar dan rancangan yang sempurna dan tidak boleh gelabah. Pada bulan Oktober disuruhnya seorang kepala perangnya, Tarkhan Pasha menemui penguasa negeri Mora, Thomas dan Demitrius, keduanya saudara kandung Kaisar, memberitahukan niatnya hendak menaklukkan Konstantinopel itu dan memberi nasihat kepada mereka berdua supaya berdiam diri jangan membantu Kaisar supaya mereka selamat.

Maka tibalah musim dingin, Bukan main dinginnya pada semusim itu. Kaisar mengharap mungkin kerana sangat dingin maka tentera Turki tidak akan tahan lalu mengundurkan diri. Sekali lagi dicubanya memujuk Sultan mengurungkan niatnya dan dengan pendek Sultan menjawab: "Kalau Kaisar tidak suka berperang, serahkanlah saja kota Konstantinopel dengan baik. Sultan berjanji akan menyelamatkan Kaisar dan menyelamatkan setiap penduduk. Tidak ada orang yang akan diganggu dan tidak ada harta benda yang akan diambil dan mana yang ingin hendak keluar dari dalam kota, Sultan  tidak akan menghalangi mereka. Itu pun suatu langkah yang sebaik-baiknya untuk menghindarkan perang". Tetapi ternyatalah bahawa Kaisar tidak pula sanggup menerima tawaran itu bahkan bertambah lama semakin kecutlah hati beliau memikirkan keadaan itu. Rupanya penyerangan Turki ke atas Konstantinopel tidaklah dapat diundurkan lagi.

Dengan segenap sisa kecerdikan yang ada padanya, Kaisar selalu berusaha bagaimana kesulitan in dapat di atasinya. Bahkan menteri-menteri Sultan sendiri dipujuknya dengan harta benda yang banyak seandainya dapat membelokkan perhatian Sultan daripada menyerang Konstantinopel. Tetapi tidaklah ada yang dapat membelikkan kemahuan Sultan yang masih muda itu. Sultan sendiri tahu bagaimana kuatnya pertahanan kota Konstantinopel tetapi segenap kekuatan dikumpulkannya pula ke sana.

Kaisar sangat mengharap pertolongan kerajaan-kerajaan Eropah, baik dari Eropah Timur mahupun dari Barat. Tetapi Sultan terlebih dahulu telah mengikat beberapa perjanjian tiada serang-menyerang dengan negeri-negeri dari Eropah Timur. Negeri-negeri Eropah Barat tidaklah ada kesanggupan rupanya mengirim tenteranya di saat yang penting itu. Hanyalah Genoa saja yang sanggup mengirimkan bantuan iaitu suatu armada laut yang tidak berapa besar di bawah pimpinan seorang pahlawan yang gagah berani bernama Justinianus yang telah sanggup masuk ke dalam pelabuhan setelah bertempur beberapa lamanya terlebih dahulu dengan angkatan perang Turki.

Salah satu sebab utama dari kegagalan pertahanan Konstantinopel ialah perselisihan faham agama yang telah sangat mendalam di antara Rom-Katholik di bawah pimpinan Paus yang berpusat di Rom dengan faham Orthodox yang berpusat di Konstantinopel sendiri. Pertengkaran dan perselisihan faham itu adalah sangat mendalam. Yang dibicarakan ialah darihal kepercayaan kepada ketuhanan Nabi Isal Al-Masih bagaimana hubungan kesatuan tiga uknum itu dalam diri yang satu dan tentang bagaimana sifat-sifat Nabi Isa dalam ketuhanannya dan dalam kemanusiaannya.


Perselisihan ini diliputi oleh suasana fanatik yang sangat mendalam sehingga tidaklah dapat diikhtiarkan lagi mempersatukan kedua gereja itu. Kaisar Konstantinopel yang telah mengerti bahaya yang mengancam negerinya dari serangan bangsa Turki yang pasti akan datang itu telah berusaha bagaimana persatuan itu dapat dicapai. Pernah beliau sendiri menghadap Paus di Rom menyatakan bersedia bersatu. Dia menyembah menjongkok sambil mencium hujung jubah Paus untuk bersatu kembali. Tetapi sambutan Paus sendiri tidaklah memuaskan sebab beliau menyangka bahawa ini adalah politik semata-mata kerana Kaisar telah tahu bahaya yang mengancam Kerajaannya. Dan seketika Kaisar pulang tidaklah pula mendapat sambutan yang baik dari orang-orang besarnya. Beliau dituduh telah berkhidmat kepada pendirian yang sekian lama dipertahankan. Dengan tunduknya Kaisar kepada Paus bererti ia mengorbankan kemerdekaan negeri dan keyakinan agamanya.

Maka tatkala sudah sangat hebat kepungan atas kota yang besar dan telah beratus tahun menjadi pusat peradaban dan kebudayaan Kristian itu dan tentera Turki telah ada dikelilingnya, namun di dalam kota masih sangatlah hebatnya pertengkaran di antara ahli-ahli agama yang setuju persatuan kembali dengan Rom dan yang tidak menyetujuinya, sampai ada yang berkata di kalangan orang besar:"Saya lebih suka melihat serban bangsa Turki di dalam kota ini daripada melihat topi orang Rom!".

Setelah 9 bulan kota yang megah itu dikepung, akhirnya datanglah masa yang dinanti-nantikan oleh tentera Islam dengan hampir hilang kesabaran itu dan dinanti pula oleh penduduk kota dengan dada yang berdebar. Dimulai penyerangan sesudah pengepungan yang berjalan lama. Selat Bosporus yang sempit itu dipagari dengan rantai-rantai besar sehingga sukar bagi kapal-kapal perang Turki memasukinya. Tetapi Sultan mendapat akal yang luar biasa.

Selama satu bulan penyerangan belum ada hasil yang dicapai. Namun menjelang berakhirnya Bulan Purnama, Sultan mendapat idea untuk menarik kapal-kapal perangnya ke daratan.

Diperintahkannya sewaktu malam buta memindahkan 70 buah kapal dengan melalui daratan yang tiga batu panjangnya, dilakukan di atas upang-upang kayu yang dilicinkan dengan minyak hingga mudah ditolak bersama-sama supaya terlepas dari tempat yang berpagar rantai yang besar-besar itu. Setelah itu dimulainyalah penyerangan besar-besaran.Penyerangan lebih dipermudahkan lagi kerana datang seorang bangsa Yunani ahli pembuat meriam, Urban namanya. Orang itu menunjukkan dan memimpin membuat meriam-meriam sebagai alat penyerangan yang dahsyat yang memuntahkan peluru-pelurunya ke kota pertahanan itu. Ketika telah terjadi pertempuran yang dahsyat itu diakuilah bahawa penduduk Konstantinopel telah bertahan dengan gigih dan gagah berani pula. Terutama Justinianus pahlawan bangsa Genoa yang telah turut bersama berjuang itu.



 Rakyat Byzantium yang menyaksikan kapal-kapal yang berayar di daratan itu begitu terkejut, mereka mengira itu karena bantuan jin atau setan, sebagian dari mereka menggosok-gosok mata, mencubit pipi, untuk memastikan bahwa ini bukan mimpi.

Sultan Muhammad Al-Fatih telah menemui satu kaedah luar biasa untuk membawa kapalnya masuk ke perairan Tanjung Emas. Kaedah yang tidak pernah terfikir oleh mana-mana tentera sebelumnya untuk melakukannya. Beliau telah memanggil tenteranya dan menyarankan kepada mereka supaya membawa kapal-kapal itu masuk ke perairan Tanjung Emas melalui jalan darat! Malam itu juga, tentera Osmaniyyah dengan semangat dan kekuatan luar biasa telah berjaya menarik 70 kapal dari pantai Besiktas ke Galata melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak melebihi 3 batu! Sesungguhnya kejadian ini sangat luar biasa dan di luar bayangan manusia hingga ke hari ini.

Pagi 22 April itu, penduduk Konstantinopel dikejutkan dengan laungan takbir dan nasyid para mujahidin di Tanjung Emas. Tiada siapa yang dapat membayangkan bagaimana semua itu boleh berlaku hanya pada satu malam. Bahkan ada yang menyangka bahawa tentera Al-Fatih mendapat bantuan jin dan syaitan! Yilmaz Oztuna di dalam bukunya Osmanli Tarihi menceritakan bagaimana seorang ahli sejarah Byzantine berkata, "Tidaklah kami pernah melihat atau mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad Al-Fatih telah menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad Al-Fatih dengan usahanya ini telah mengatasi Alexander The Great!"


Tetapi seketika dia dengan gagah perkasa bertahan di satu pihak, tentera Turki akhirnya dapat juga masuk di pihak yang lain kerana pengepungan sangat teratur. Justinianus sendiri di dalam keadaan luka parah mengundurkan diri ke dalam kapalnya dan lari. Oleh sebab itu maka harapan penduduk Konstantinopel bahawa malaikat akan turun dari langit membebaskan negeri mereka daripada bahaya orang Islam itu rupanya tidaklah berhasil. Adapun Kaisar sendiri setelah melihat bahawa segala pertahanan telah roboh dan tentera Turki telah masuk ke dalam kota bagaikan anai-anai, dilemparkannyalah segala pakaian kebesarannya dan dengan sebilah pedang dia menyerbu ke tengah-tengah musuh yang masuk ke dalam kota kebesarannya turun-temurun itu. Maka tewaslah beliau dalam gelombang orang yang banyak itu. Setelah seluruh kota diduduki dan perlawanan tidak ada lagi barulah orang dapat melihat bahawa di antara bangkai-bangkai yang bergelimpangan itu terdapatlah mayat Kaisar Byzantium yang paling akhir. (29 Mei 1453M) Waktu subuh.


Dan setelah datang waktu zohor, Sultan pun masuklah ke dalam kota itu dengan serba kebesaran diiringkan oleh orang besar dan ulama. Laungan "Allahu Akhbar" terdengar di kiri dan kanan jalan itu di mana tempat balatenteranya yang gagah perkasa itu berdiri menyambut kedatangan pahlawannya dan baginda sendiri mengenderai kudanya yang bernama "Jambulat", memasuki kota dengan langkah yang tenang tenteram dan penuh rasa kebahagiaan. Tidak kelihatan kesombongan pada airmuka baginda. Bahkan sesampai di hadapan gereja besar 'Aya-Sophia', baginda turun dari kudanya dan sujud ke bumi mengucapkan syukur kepada Tuhan dan diambilnya segenggam tanah lalu disiramkan ke kepalanya sendiri sebagai alamat merendahkan diri kepada Ilahi.

Seketika baginda masuk ke dalam gereja yang bersejarah itu didapatinya beberapa orang yang taat berugama sedang menegadah ke langit di bawah pimpinan penditanya, bersembahyang  dengan sangat khusyuk memohonkan perlindungan dan biarlah mati dalam sembahyang. Kebetulan hari itu adalah hari sembahyang memperingati Orang Suci mereka iaitu St Theodosie. Baginda tertegun melihat orang yang sembahyang dengan khusyuk dan penuh ketakutan itu apatah lagi mereka melihat orang yang sangat ditakutiitu telah berdiri di hadapan mereka dalam gereja tempat mereka bersembunyi. Sedang baginda tertegun sebentar itu kedengaranlah oleh baginda suara orang menokok-nokok dan disuruhnya memeriksa kerana perbuatan itu menganggu orang yang bersembahyang itu. Rupanya tentera Turki yang datang dari Anatoli sedang memukul sebuah tonggak marmar gereja.

Lalu baginda pun bertanya, "Apakah maksudmu berbuat begitu?" Maka seldadu itu pun menjawab: "Bukankah saya ini seorang Muslim? Bukankah semuanya ini berhala tempat kafir menyembah selain Allah?"

Masa itulah kelihatan wajah Sultan begitu murka sekali. Diambilnya penggada itu dari tangan seldadu yang bodoh itu dan dihayunkannya ke kepalanya sambil berkata dengan marah: "Tidak boleh merosakkan tempat ibadat".

Kalau sekiranya tepatlah palu itu mengenai kepalanya nescaya matilah seldadu itu. Sikap Sultan yang demikian itu menghairankan bagi orang-orang Kristian yang sedang sembahyang itu. Kian lama mereka dengan tidak ragu-ragu mendekati Sultan dan yang bersembunyi pula kelurlah dari tempat persembunyiannya. Demikian terharunya kerana amat berbeza dengan yang mereka sangkakan, maka adalah di antara mereka yang terus memasuki Islam pula. Di antaranya seorang pendita yang kemudian lebih terkenal dengan nama Baba Muhammad.

Pada waktu itu dinyatalah dengan terus -terang bahawasanya gereja-gereja yang ada di Konstantinopel tetaplah menjadi gereja kecuali beberapa buah yang akan dijadikan masjid. Yang terutama adalah 'Aya Sophia' sendiri. Pada waktu asar di hari itu juga disembahyangilah gereja itu secara Islam dan ditukar namanya menjadi Masjid "Aya Sophia", sesudah dihindarkan segala tanda-tanda yang ada di dalamnya.

Aya Sophia atau Masjid Biru
Dari sana Sultan meneruskan perjalanannya ke dalam istana Kaisar. Sampai di dalam terharulah Sultan melihat istana yang dahulunya penuh kebesaran itu tetapi ketika itu amat muram kerana kepungan 9 bulan dan lama sebelum itu Konstantinopel telah miskin sehinggakan banyak alat istana yang terjual.

Maka terloncatlah dari mulut baginda seketika melihat istana itu, serangkum syair bahasa Parsi : "Lawa-lawa telah menjalin sarangnya dalam istana Maharaja dan burung hantu telah bernyanyi lagu dukacita".

Lalu baginda tanyakan di mana Kaisar, bagaimana nasibnya dan di mana pahlawan Justinianus yang gagah perkasa, di mana Naib Kaisar Notaras. Hanya Notaras yang dapat datang. Dialah yang menjadi Wali-Kota Konstantinopel ketika kota itu dikepung.

Seketika didengarnya berita bahawa Justinianus lantaran luka pergi bersembunyi di dalam kapal, diutusnya utusan bersama tabibnya sendiri mencari pahlawan itu danmembawa ubat serta diperintahkan memeliharanya sampai sembuh. Sebab Sultan sangat kagum melihat keberaniannya.

Kemudian datanglah seorang seldadu Sultan bangsa Serbia. datang tergesa-gesa dengan wajah yang sangat gembira membawa bersama kepala orang. Terus disembahkannya ke hadapan Sultan, sangat terkejut Sultan melihat kepala yang tercerai dri badn itu, sebab Sultan kenal, itulah Kaisar! Dan dengan terpekik Notaras melihat kepala Kaisrnya! Seldadu itu menyangka bahawa kan mendapat pujianlah dari Sultan lantaran perbuatannya itu. Dengan muka yang penuh azam Sultan bertanya: "Bertempurkah engkau dengan Kaisar?" Maka dijawabnya: "Tidak, Tuanku! Ketika hamba berkeliling melihat-lihat bangkai bergelimpangan, terlihat aku bangkai orang ini. Di kelilingnya ada beberapa orang meratap, menyebut 'Kaisar! Kaisar! Melihat keadaan itu yakinlah hamba, bahawa inilah bangkai musuh kita. Lalu hamba potong kepalanya dan hamba bawa kemari."

"Pengecut!" Kata Sultan dalam keadaan yang sangat murka, lalu disuruhnya tangkap seldadu itu dan hukum mati waktu itu juga dan dipotong kepalanya.

Maka baginda jatuhkanlah perintah kepada orang-orang besar Byzantium dalam majlis itu agar Kaisar dikebumikan dengan upacara yang layak yang diadatkan terhadap Kaisar-kaisar turun-temurun. Kemudian baginda keluarkanlah perintah bahawasanya tentera Islam sekali-kali tidak boleh menggangu orang Kristian. Beberapa orang tawanan yang terdiri dari orang besar-besar Kerajaan lama, baginda tebus sendiri dengan hartanya yang khusus dan baginda merdekakan. Kedai-kedai disuruh buka kembali dan syiar agama Kristian boleh dijalankan sebagaimana biasa.

Beberapa hari kemudian diundangnyalah beberapa orang Uskup dalam kerajaan Rom itu. Lalu baginda sampaikanlah kehendak baginda, bahawa baginda ingin sekali orang Nasrani mengerjakan agamanya dengan sungguh-sungguh dan menghilangkan perselisihan sesama mereka. Maka supaya masyarakat Kristian berjalan dengan baik dan tidak terhalang baginda anjurkan supaya Uskup-uskup itu memilih sendiri dari kalangan mereka siapa yang layak menjadi Petrick. Sultan menyatakan bahawa baginda tidaklah mempunyai anjuran apa-apa atau memaksakan dengan halus siapa yang akan dipilih. Siapa yang patut terserahlah kepada mereka. Tetapi hendaklah dengan segera supaya segala perbelanjaan perlantikan Petrick dapat ditanggung oleh Sultan.

Mulanya tercengganglah mereka menerima titah itu, seakan-akan tidak percaya. Sebab pernahlah negeri mereka itu diserang dan diduduki pula oelh kawan seagamanya sendiri seketika terjadi Perang Salib, dalam perjalanan tentera Salib itu menuju Palestin. Turun-temurun manjadi buah mulut bagaimana kejam sikap tentera pendudukan orang Katholik itu di tanahair mereka. Itu pun slah satu sebab mereka tidak mahu bersatu di bawah pimpinan Paus. Mereka sangka akan begitu jugalah nasib mereka dan sudah lamalah negeri mereka tidak mempunyai Petrick. Maka setelah nyata titah itu, mereka pun memilih Agnadius menjadi Petrick,  pendita yang terkenal menentang keras persatuan dengan Rom dahulu. Selesai perlantikannya itu, maka bersama-sama dengan Uskup yang lain-lain pergilah dia menghadap Sultan ke istana. Dan disambut dengan serba kehormatan dan makanlah dia bersama-sama Sultan dalam satu hidangan. Setelah selesai makan dan minum sambil berckap-cakap, Sultan memberikan isyarat. Maka keluarlah dari dalam seorang pengawal membawa tongkat kebesaran Petrick yang termasuk menjadi slah satu barang rampasan upacara dan khidmat serta Sultan bertitah: "Tuan adalahg Petrick kaum Nasrani dalam negeri ini! Semoga Tuhan Allah memberikan perlindungannya bagi tuan, Pandanglah selalu bahawa saya adalah sahabat tuan dan sahabat jemaah tuan. Segala hak-hak tuan yang dipusakai sejak dari nenek-moyang tuan pakailah kembali".

Setelah selesai upacara, Petrick memohon diri hendak pulang. Sultan pun berdiri dari duduknya dan bersama orang besar-besar mengiringkan Petrick sampai ke pintu. Di halaman istana telah menunggu kuda kenderaan beliau yang telah disediakan. Sampai terloncat dari mulutnya perkataan yang sebenarnya mesti dirahsiakannya, kerana sangat terharunya: "Kaisr-kaisar kami sendiri tidaklah pernah melakukan begini kepada kami!".

Kemudian itu keluarlah titah yang rasmi dari baginda bahawasanya Petrick aman dalam perlindungan Sultan dankedudukan beliau disamakan dengan wazir-wazir (menteri) yang lain dalam Kerajaan Osmani yang bertugas mengurus rakyat Sultan yang beragama Nasrani, baik dalam urusan sivil mahupun urusan agamanya.

Dari sebab itu maka Petrick Konstantinopel mempunyai dua tugas, iaitu memimpin golongannya sendiri dan menjadi satu di antara Menteri-menteri Kerajaan Osmani yang sama haknya dengan menteri-menteri yang lainnya.

Konstantinopel menjadi ibukota


Sejak waktu itu dirasmikanlah bahawa kota Konstantinopel menjadi Ibu Kota Kerajaan Osmani dan dipiindahkanlah kerusi kerajaan dan alat-alatnya dari Adrianopel ke sana. Dan sejak pemindahan ibu kota itu Sultan pun lebih lancarlah menjalankan maksudnya memperluaskan kekuasaan dan kerajaannya. Sejak tahun 1458 sampai tahun 1460 baginda berjuang menundukkan negeri Serbia sampai akhrnya negeri itu ditaklukan terus sebagai suatu daerah yang selama ini senantiasa menyusahkan Kedudukan Kerajaan Osmani. Dan pada tahun 1456 baginda taklukkan pula wilayah Athen sehabis pertempuran yang dahsyat. Di tahun 1460 ditaklukkan pula Mora, sehabis itu dipalingkanyalah mukanya kembali ke Asia Kecil bagi menundukkan sisa-sisa kerajaan yang masih belum tunduk dan di antaranya Trabzun. Di tahun 1464, Bosnia baginda tundukkan pula lalu dijadikan satu wilayah di antara wilayah-wilayah Kerajaan Osmani. Maka seluruh pantai Krimia pun jatuhlah ke bawah kuasa baginda. Setelah itu ditundukkan pula Aga Karman dan dalam tahun 1477 baginda serang pulau-pulau Venesia dan ditaklukkannyapula Kroatia dan Sekudra.

Di tahun 1480 pulau-pulau di hadapan pantai Yunani dan Italia, kemaslah ke dalam kuasa baginda dan akhir pertempuran ialah menaklukkan Toronto di negeri Italia.

Semua peperangan itu menjadi lancar perjalanannya sebab kunci hubungan Asia dengan Eropah telah menjadi pust kekuasaannya; Konstantinopel.

sumber : Sejarah Umat Islam - hamka

Empayar Turki Osmaniyyah

    * 1243M- Bangsa Turki yang hidup secara nomad menetap secara tetap di Asia Kecil.
    * 1299M- Sebuah wilayah pemerintahan kecil Turki di bawah Turki Seljuk ditubuhkan di barat Anatolia.
    * 1301M- Osman I mengisytiharkan dirinya sebagai sultan. Tertubuhnya Empayar Turki Osmaniyyah.
    * 1345M- Turki Seljuk menyeberangi Selat Bosporus.
    * 1389M- Tentera Osmaniyyah menewaskan tentera Serb di Kosovo.
    * 1402M- Timurlane, Raja Tartar (Mongol) menumpaskan tentera Uthmaniyyah di Ankara.
    * 1451M- Sultan Muhammad al-Fatih menjadi pemerintah.
    * 1453M- Konstantinopel ditawan oleh tentera Islam pimpinan Sultan Muhammad al-Fatih. Berakhirnya Empayar Byzantine.
    * 1520M- Sultan Sulaiman al-Qanuni dilantik menjadi sultan.
    * 1526M- Perang Mohacs
    * 1529M- Serangan dan kepungan ke atas Vienna.
    * 1571M- Perang Lepanto berlaku.
    * 1641M- Pemerintahan Sultan Muhammad IV
    * 1683M- Serangan dan kepungan ke atas Vienna buat kali kedua.
    * 1687M- Sultan Muhammad IV meninggal dunia.
    * 1703M- Pembaharuan kebudayaan di bawah Sultan Ahmed III.
    * 1774M- Perjanjian Kucuk Kaynarca.
    * 1792M- Perjanjian Jassy.
    * 1793M- Sultan Selim III mengumumkan "Pentadbiran Baru".
    * 1798M- Napoleon cuba untuk menawan Mesir.
    * 1804M- Pemberontakan dan kebangkitan bangsa Serbia pertama.
    * 1815M- Pemberontakan dan kebangkitan bangsa Serbia kedua.
    * 1822M- Bermulanya perang kemerdekaan Greece.
    * 1826M- Pembunuhan beramai-ramai tentera elit Janissari. Kekalahan tentera laut Uthmaniyyah di Navarino.
    * 1829M- Perjanjian Adrianople.
    * 1830M- Berakhirnya perang kemerdekaan Greece.
    * 1841M- Konvensyen Selat.
    * 1853M- Bermulanya Perang Crimea.
    * 1856M- Berakhirnya Perang Crimea.
    * 1876M- Perlembagaan Uthmaniyyah diluluskan.
    * 1878M- Kongres Berlin. Serbia dan Montenegro diberi kemerdekaan. Bulgaria diberi kuasa autonomi.
    * 1908M- Jawatankuasa Perpaduan dan Kemajuan atau lebih dikenali sebagai Turki Muda ditubuhkan. Perlembagaan Osmaniyyah dikembalikan. Austria menyerang Bosnia dan Herzegovina.
    * 1912M- Perang Balkan pertama.
    * 1913M- Perang Balkan kedua.
    * 1914M- Empayar Uthmaniyyah memasuki Perang Dunia I sebagai sekutu kuasa tengah.
    * 1919M- Mustafa Kemal Atatürk mendarat di Samsun.
    * 1923M- Sistem kesultanan dihapuskan. Turki diisytiharkan sebagai sebuah Republik.
    * 1924M- Pejabat khalifah dihapuskan. Tamatnya pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyyah.

4 comments:

adisarwajagat said...

Berdasarkan pendapat Ustaz Amaluddin Darus berpandukan hadis Abu Daud, penaklukan kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad al-Fatih dan tentera baginda menakluknya dengan takbir... al-masih dajjal keluar menipudaya umat manusia seluruh dunia hingga satu persatu kerajaan umat Islam jatuh ke tangan pengikut dajjal hingga Khilafah Uthmaniah benteng terakhir umat Islam turut tumbang di bawah perancangan al-masih dajjal dengan menghantar orang suruhannya, Mustafa Kemal Atatürk...

hIsHam ZuhA said...

Saya ingin minta izin dari Zaim untuk mengambil beberapa artikel di blog Zaim diletakkan di blog saya di

Pandanganilmu.blogspot.com

yang baru dibuat oleh saya(Zuha).Dan minta Zaim untuk beri pendapat dan komen di blog saya yang baru dibuat.

Harap permintaan saya Zaim pertimbangkan. terima kasih :)

Anonymous said...

di Alu-alukan, segala artikel di blog ini boleh saja diambil dan disebarkan...

zaim zaiman.

muhammad said...

Assalamualaikum,smoge Tuan sentiasa dilimpah Rahmat Allah...saya meminta izin mengambil arikel ini untuk Pentomen bersama teman2 sy, semoge dengan artikel ini akn membuatkan persembahan kami ini meningkatkan tahap semanagt islam kepada yang mendengar dan melihat persembahan kami....insya Allah